Artikel Pilihan 1

SURAT LAYANG: BAHANA DAN IMPLIKASINYA TERHADAP SESEBUAH ORGANISASI

Zamaruzaman Bin Mohamad
Kolej Komuniti Tapah

Abstrak- Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat ke-6 yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita,maka periksalah dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesal perbuatan kamu itu.” Merujuk pada Kamus Dewan edisi ke-empat surat layang bermaksud surat yang tidak diketahui penulisnya, biasanya surat yang mengecam,menyebarkan berita buruk atau berita palsu. Penulis akan mengupas isu ini dan bahana surat layang kepada sesebuah intitusi atau organisasi.
Kata kunci - Surat layang & Berita palsu

Menurut statistik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sebanyak 8,149 surat layang antara 2009 hingga 2010. Daripada jumlah itu sebanyak 1,758 fail dibuka dan antara 80 hingga 100 pegawai digunakan untuk menjalankan penyiasatan terhadap surat layang berkenaan tetapi hanya satu kes sahaja yang berjaya dibawa di mahkamah.
Pendedahan ini dibuat oleh Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Datuk Dr Hadenan pada satu sidang media. 
Katanya, sehubungan itu, SPRM tidak akan melayan surat layang yang tidak mengandungi nama, alamat dan nombor pemberi maklumat,ataupun maklumat palsu serta surat yang mengandungi maklumat terlalu umum tanpa dapat dikenalpasti siapa sasaran atau kesalahan yang dilakukan orang yang ditohmah. 
Ini jelas menunjukkan penulis surat layang bersikap tidak bertanggungjawab,tidak mahu memberi sebarang komitmen dan pengecut. Malah pepatah melayu ada menyebut perbuatan ini adalah seperti baling batu sembunyi tangan. Baginya yang penting ialah memastikan tuduhannya itu disiasat walaupun tanpa sebarang bukti yang kukuh. 
Landskap sesebuah organisasi boleh berubah disebabkan oleh surat layang. Penulis surat layang mungkin akan beranggapan bahawa siasatan hanya akan melibatkan sasarannya sahaja. Namun apabila siasatan dijalankan ramai pihak yang akan disoal siasat. 
Seluruh organisasi akan terjejas disebabkan oleh kelakuan dan niat jahat penulis surat layang. Ini sekaligus akan menyebabkan seluruh organisasi terperangkap kepada pelbagai tuduhan dan prasangka dari pihak luar mahupun dari ahli organisasi itu sendiri. Selagi nama – nama yang disebut dalam surat layang itu tidak dibersihkan, selagi itulah tuduhan itu membelenggu tertuduh dalam sangkar fitnah, hasad dengki dan syak wasangka. 
Rasullulah SAW pernah bersabda : “Berhati-hati kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Hadis riwayat muslim).
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah balasan azab yang amat pedih. 
Disebabkan sepucuk surat layang semua ahli dalam organisasi itu boleh disyaki sebagai penulisnya. Keadaan ini akan merumitkankan lagi situasi kerja dalam organisasi. Kerjasama dan semangat setiakawan akan mula luntur ekoran perasaan syak yang terjana akibat dari tuduhan surat layang. 
Oleh itu menulis surat layang bukanlah saluran yang tepat malah ia adalah sesat dan boleh merosakkan jiwa dan seluruh organisasi.